Wednesday, May 18, 2016

Zaha Hadid- Senibina atau Seni Arca? - Jangan Keliru

Sumber foto: e-architect.co.uk (courtesy Zaha Hadid Architects)
Baru baru ini dunia senibina menjadi heboh dengan kematian seorang bintang senibina yang bernama Zaha Hadid. Dia merupakan seorang arkitek yang memulakan tren rekabentuk yang sangat eksotik berdasarkan falsafah dekonstruktivis. Apa yang saya ingin suarakan adalah perlu untuk golongan arkitek menilai semula kesan sumbangan tren yang dipelopori oleh Zaha hadid ini. Foto di atas merupakan salah satu bangunan beliau. Ianya diakui sangat seksi, sangat eksotik dan mungkin layak menjadi latarbelakang filem bercorak futuristik. Para arkitek dan pelajar senibina ramai memuja bangunan sebegini sebagai 'senibina' yang hebat masakini. Namun begitu adalah menjadi sesuatu yang menggusarkan sekiranya tren penilaian sebegini menjadi asas kepada pendidikan senibina.
Sesuatu bangunan yang dibina oleh seorang arkitek, sekiranya dinilai hanya dari segi rupa luarannya maka lebih layak digelar arca (sculpture) dan belum tentu ia layak dipanggil 'architecture' atau senibina. Sekarang ini adalah menjadi tren pelajar senibina mengagumi sesuatu bangunan itu hanya dari 'birds eye view' dan lain lain perspektif luaran tanpa mengambilkira tanggungjawab senibina yang lain. Memang diakui, dari segi rekabentuk, sesuatu yang jarang dicuba dan lain dari yang lain mempunyai nilai dari segi kelainan (novelty). Namun senibina bukanlah satu disiplin seni yang bebas. Boleh dikatakan senibina adalah seni yang paling banyak tanggungjawabnya. Apakah tanggungjawab senibina yang lain?.
  • Kos yang tidak membebankan klien
  • Suasana dalaman yang memberi keselesaan kepada penghuni
  • Kos penyelenggaraan dan pengoperasian yang menjimatkan
  • Mempunyai ergonomic yang baik
  • Tidak merosakkan alam sekitar
  • Tidak mengancam kesihatan
  • mematuhi undang2.
  • Tidak meresahkan penghuni berdekatan.
  • dan banyak lagi..(percayalah, disiplin senibina sangat rumit sehinggakan untuk mencapai tahap professional dalam bidang ini, mengambil masa jauh lebih banyak dari bidang professional yang lain).
Bukanlah tujuan penulis untuk melabelkan Zaha Hadid sebagai arkitek yang rendah mutu senibinanya, bahkan mungkin sebaliknya. Tetapi apa yang penting adalah golongan professional, pelajar senibina mahupun orang awam janganlah menerima sesuatu sebagai senibina yang baik hanya dengan melihat luaran ataupun lukisan sesuatu bangunan itu. Perlu ada penilaian yang lebih bertanggungjawab, berdasarkan kriteria yang saya nyatakan. Kriteria yang saya rasakan terpinggir dengan keghairahan mengagungkan nilai 'sculpture' sesuatu senibina.

No comments: